
Nasi Bawal
Assalammualaikum WBT dan selamat pagi semua, hari sabtu lepas ros buat Nasi Bawal, masa siang ikan bawal ni, tetiba dapat idea nak buat nasi ikan bawal, berlaukkan kari sayur dan sambal kicap limau kasturi, bila dah siap dan rasa, buleh tahan jugak rasanya, adik-adik pun puji kata sedap, kombinasi kari dan kicap memang sesuai lah, resepi boleh rujuk kat bawah ni ye. Amat sesuai bagi penggemar kicap seperti saya…heheheehee : )
Nasi Bawal
Sumber resepi: rosmarlina @ jintanmanis.com
Bahan-bahan
Untuk Nasi Kari
2 cawan beras ( ros guna jenama faiza) basuh dan toskan
1 1/2 cawan susu cair dan 1/2 cawan air – bergantung jenis beras
1 batang kulit kayu manis
1/2 biji bawang besar dan 2 ulas bawang putih, dicincang halus
1 inci halia dihiris nipis
2 kuntum bunga lawang dan 4 biji buah pelaga
2 sudu besar serbuk kari ikan ( masukkan sedikit air dan jadikan pes)
sedikit garam
2 tangkai daun kari
sedikit minyak untuk menumis ( lagi sedap kalau guna minyak sapi atau butter)
1. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga, tumis hingga naik bau baru masukkan bawang besar dan bawang putih yang dicincang halus.
2. Selepas itu masukkan pes serbuk kari ikan dan daun kari, kacau sebati, setelah semua agak garing masukkan pula beras dan sedikit garam, gaul lagi, setelah mesra, masukkan dalam rice cooker, akhir sekali masukkan pula susu cair dan air, tekan ON dan masak seperti biasa.
Untuk Kari Sayur
1/2 batang carrot
1/2 biji cili benggala hijau dan merah
sedikit kobis bunga dan putik jagung
1 biji tomato
2 sudu besar serbuk kari
beberapa biji kacang bendi
2 cawan santan
rempah tumis, 1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang dan 4 biji buah pelaga
1. Tumis rempah tumis hingga naik bau kemudian masukkan pes kari dan biarkan garing, kemudian masukkan santan dan sayuran tadi, sesuaikan rasa, masukkan sedikit garam, masak hingga kuah agak pekat, angkat dan ketepikan.
Untuk Ikan Bawal Goreng Garing
2 ekor ikan bawal saiz sederhana
3 sudu besar tepung kanji kentang@tepung beras
sedikit kunyit serbuk
sedikit garam
minyak masak untuk menggoreng
1. Siang ikan bawal dan rendamkan dengan air perahan limau kasturi bagi menghilangkan hanyir ikan, setelah 10 minit baru di bilas dengan air bersih, lumur ikan bawal tadi dengan garam, serbuk kunyit dan tepung kanji kentang, goreng hingga garing. angkat, toskan minyak berlebihan dan ketepikan.
Untuk Sambal Kicap Limau Kasturi
4 sudu besar kicap manis ( ros guna jenama adabi)
3 biji cili padi
1/4 biji bawang besar
2 biji limau kasturi
1. cili padi dan bawang besar dicincang halus, limau kasturi di ambil jusnya, masukkan semua bahan di dalam bekas kecil dan curahkan kicap manis, kacau sebati dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi bawal.
Nota: Kalau tak mau buat nasi kari tu pun boleh, makan dengan nasi kosong je, tapi rasa cam menu biasalah, kalau ade masa, cukup bahan jangan lupa resepi nasi bawal ni ye, satu kelainan untuk dihidangkan pada keluarga tersayang.




