
Pecal @ Gado Gado
Assalammualaikum dan selamat pagi di hari Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, Bulan Syawal dah meninggalkan kita, kini kita berada di bulan Zulkaedah, musim open house pun dah tamat, masa untuk rehatkan perut dengan menu yang biasa-biasa je, ape kata kita mulakan dengan memakan pecal, menu sihat, makan ni je pun dah cukup dah, baik untuk kesihatan dan mengenyangkan, resepi boleh rujuk di bawah ni ye, ros takde kuantiti yang khusus untuk resepi pecal ni, main agak-agak je, ikut keperluan isi rumah ye. Dulu masa Arwah Nenek ros ade, tauge tu nenek ros rendam dan biar sampai bercambah, tapi sekarang main beli je, menu ni sangatlah femes di kalangan orang Banjar…..: )
Pecal@ Gado Gado
Sumber resepi: rosmarlina @ jintanmanis.com
Bahan-bahanya ( sayur pecal)
se-ikat Kangkung
se-ikat pucuk ubi
sedikit kacang panjang
sedikit timun
4 ketul tahu goreng
sedikit jantung pisang ( ni takde pun takpe)
Untuk kuah pecal
sedikit air asam jawa
sedikit gula
1 cawan kacang tanah
1/2 inci belacan ( yang telah di bakar)
4 biji bawang kecil
5 tangkai lada kering
Cara-caranya
1. Timun dihiris halus, Panaskan air di dalam periuk dan celur, kangkung, pucuk ubi, kacang panjang, tahu goreng dan jantung pisang, tos dan ketepikan. Jangan celur terlalu lama.
2. Buat Kuah Pecal, panaskan secawan minyak dan goreng kacang tanah, angkat dan ketepikan, selepas itu, goreng pula bawang kecil dan lada kering, dengan lesung batu tumbuk kacang tanah hingga agak lumat, kaup dan masukkan dalam bekas, kemudian tumbuk pula bawang merah, lada kering dan belacan. ( nak guna blender pun boleh).
3. Masukkan kesemua bahan yang telah ditumbuk ke dalam bekas dan campurkan dengan air asam jawa dan gula, sesuaikan rasa, masukkan sedikit garam.
4. Cara penyediaan, ambil kesemua sayur pecal dan curahkan kuah kacang di atasnya, gaul sebati, dan sedia untuk dihidangkan. Selamat Mencuba.
Nota:Kuah kacang untuk pecal ini tidak terlalu cair, jadinya air asam jawa tu kita kena pandai agak-agaklah, tuang sikit-sikit dan kacau, bila dah elok pekatnya, jangan di tambah air asam jawa lagi.


