Assalammualaikum WBT dan selamat petang semua, lama rasanya tidak mengemaskini blog kesayangan ros ini, disebabkan ade beberapa kejadian berlaku dan ade juga sesi merajuk….tapi sekarang dah ok dah, kena berfikiran positif lah, lepas ni…tak boleh toleh belakang dah, kita mulakan siaran bulan October ni dengan resepi puding pelangi biskut marie ni ye, lama dah teringin nak buat, lagipun dok fikir2 nak ber eksperimen dengan biskut marie pula, Alhamdulillah menjadi dengan jayanye, kalau berkenan dengan rupa bentuk puding pelangi ros tu, Raya Aidiladha nanti boleh cuba ya…sedap dan rasanye pun tak manis sangat, sesuai dihidangkan pada tetamu yang bertandang : )
Puding Pelangi Biskut Marie Dengan Sos Kastad
Sumber resepi: rosmarlina @ jintanmanis.com
Bahan-bahanya
( bahan untuk dikisar halus di dalam blender)
1 biji telur
10 keping biskut marie
200ml susu segar @ susu cair
200ml air
10gram serbuk agar-agar
600ml air
140gram gula
Sos Kastad
3 sudu makan tepung kastad (ros guna jenama bird custard)
3 sudu makan gula
200ml susu segar@susu cair + 150ml air ( total cecair susu+air 350ml)
1sudu kecil esen vanila
Cara-caranya
1. Mula-mula patah-patahkan biskut marie beberapa bahagian dan masukkan di dalam blender, masukkan juga susu , air dan telur, kisar hingga betul-betul hancur. setelah siap ketepikan.
2. Kemudian masukkan serbuk agar-agar di dalam periuk dan curahkan air, kacau hingga serbuk agar-agar sebati, selepas itu masukkan gula, masak sehingga gula larut.
3. Kemudian masukkan adunan biskut marie yang telah dikisar tadi, kacau selalu, masak sehingga menjadi agak pekat.
4. bahagi adunan pada 4 bahagian, warnakan dengan warna ungu, pink dan biru laut, dan biarkan satu lagi bahagian dengan warna asal. Sediakan acuan petak dan mula melapis satu persatu, pegerakan mesti cepat, takut adunan agar2 menjadi keras, curahkan adunan warna asal di dasar acuan, dan curahkan pula atasnya dengan warna biru, setiap lapisan pastikan di lapis dengan warna asal dahulu kemudian lapiskan dengan adunan berwarna, ulang langkah tadi sehingga habis.
5. Biarkan agar-agar keras dan sejukan di dalam petiais, sementara itu buat sos kastad, masukkan tepung kastard di dalam bekas kecil dan masukkan sedikit air, kacau hingga sebati, kemudian masukkan di dalam periuk, dan campurkan juga dengan air, gula dan susu, kacau sentiasa supaya tidak berketul, kacau sehingga menjadi sos kastad dan sejukkan.
6. Setelah agar2 dan sos kastad sejuk, potong puding pelangi mengikut citarasa masing-masing dan curahkan di atasnye dengan sos kastad, sedap dimakan sejuk dan sangat sesuai dijadikan pencuci mulut, Selamat Mencuba.
– Jika tidak mahu curahkan sos kastad pun boleh dan sedap juga dimakan begitu sahaja, dan jika mahu dibelangkan dengan serbuk koko pun boleh, ikutlah selera masing2 ya.



